Bekalan air di 83 kawasan terjejas pulih 9 malam esok

in Edisi Selangor KL by

Bekalan air di 83 kawasan terjejas di Gombak, Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pemotongan tidak berjadual akibat paip pecah dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam Isnin. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan air di 83 kawasan terjejas di Gombak, Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pemotongan tidak berjadual akibat paip pecah dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam Isnin.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja membaiki paip pecah di Taman Perindustrian Bukit Indah, Sungai Buloh telah selesai pada 9.30 malam Ahad dan bekalan air akan mula diagih secara berperingkat kepada pengguna sebaik sahaja ia stabil.

Kenyataan itu juga menyebut tangki air akan terus digerakkan untuk menyalurkan bantuan kepada pengguna yang terjejas.

“Keutamaan diberikan kepada premis-premis yang kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya.

Pengguna boleh merujuk kepada aplikasi Air Selangor serta akaun Facebook, Instagram dan Twitter rasmi agensi itu untuk maklumat terkini atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. – Bernama