13 lelaki ceroboh hutan simpan ditahan

in Berita Semasa by

Kenderaan pacuan empat roda yang dirampas oleh pihak PHD Raub pada Ahad. – Foto JPNP PahangSeramai 13 individu ditahan Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub kerana memasuki Hutan Simpan Batu Talam tanpa permit pada Ahad. – Foto JPNP Pahang

KUANTAN – Seramai 13 individu ditahan Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub kerana memasuki Hutan Simpan Batu Talam tanpa permit pada Ahad.

Pegawai Hutan Daerah Raub (PHD), Safiah Aimi Md Isa berkata, mereka yang berusia antara 22 hingga 60 tahun dipercayai melakukan aktiviti sukan lasak di hutan terbabit.

Menurutnya, penemuan individu terbabit adalah menerusi aktiviti rondaan sempena operasi cuti tahun baharu yang dilakukan oleh pasukan Unit Tindakan Khas PHD Raub.

“Siasatan awal mendapati individu yang ditahan terdiri daripada penduduk sekitar daerah ini dan Kuala Lumpur.

“Kita turut merampas tiga motosikal lasak, tiga kenderaan pacuan empat roda, tiga motosikal lasak dan lima ‘all terrain vehicle’ (ATV) serta beberapa peralatan perkhemahan,” katanya pada Isnin

Beliau menjelaskan mereka yang ditahan terdiri daripada satu kumpulan yang dipercayai sudah merancang untuk menjalankan aktiviti lasak dan berkhemah sambil bermalam di dalam hutan berkenaan.

**media[2042820]**

Tambahnya, kegiatan mereka itu lebih kepada aktiviti riadah sempena cuti tahun baharu.

“Peralatan perkhemahan dan memasak serta parang termasuk penyodok dipercayai digunakan untuk mendirikan khemah disita.

“Mereka yang ditahan mendakwa tidak mengetahui perlu mendapatkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) atau PHD Raub,” ujar beliau.

Safiah Aimi berkata, pihak yang ingin memasuki mana-mana hutan simpan kekal perlu lebih cakna dan mengetahui proses permohonan serta kemasukan ke dalam hutan yang telah ditetapkan.

Tegasnya, jabatan itu masih lagi menutup sementara semua 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) di negeri ini berikutan musim tengkujuh.

“Kita sudah meletakkan banyak papan tanda amaran dan peringatan di semua kawasan hutan simpan di daerah ini.

“Tetapi sikap sesetengah orang awam yang tidak memandang serius terhadap amaran berkenaan mengundang padah sekiranya mereka ditangkap oleh anggota penguat kuasa,” katanya.

Beliau memaklumkan individu yang berada di dalam hutan simpan kekal tanpa permit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

“Kita tidak akan berkompromi dengan individu yang memasuki hutan simpan kekal tanpa permit, tindakan tegas menunggu pihak terbabit tanpa sebarang alasan diberikan.

“Jabatan berharap dengan penangkapan ini akan memberi kesedaran kepada orang awam berkaitan usaha jabatan dalam menguatkuasakan larangan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit,” tegasnya.

Sehubungan itu, kerjasama masyarakat setempat diperlukan untuk menyalurkan maklumat kepada jabatan sekiranya mengetahui dan mengesyaki berlakunya aktiviti tanpa kebenaran atau kesalahan hutan di dalam hutan simpanan kekal.