Covid-19: 417 kes baharu, empat kematian

in Koronavirus by

Malaysia merekodkan 417 kes baharu Covid-19 pada Ahad. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Sebanyak 417 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Ahad dengan tiga daripadanya merupakan kes import.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, sebanyak empat kes kematian baharu akibat Covid-19 dicatatkan dan dua daripadanya adalah kematian melibatkan kes di luar fasiliti hospital atau brought-in-dead (BID) sekali gus menjadikan jumlah kematian dalam negara kini sebanyak 36,857 kes.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 11,871 kes,dengan 11,232 atau 94.6 peratus daripadanya merupakan individu dikuarantin di rumah.

Dalam pada itu, seramai 609 pesakit Covid-19 ditempatkan di hospital dengan 30 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, sembilan pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes sembuh yang direkodkan pada Ahad ialah 547 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh wabak tersebut dalam negara kepada 4,978,369 kes.