KKM uji sampel air kumbahan loji, pesawat kesan Covid-19

in Koronavirus by

Dr Noor Hisham

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, survelan persekitaran Covid-19 yang menggunakan air kumbahan didapati daripada dua sumber iaitu menerusi lokasi sentinel di setiap negeri dan pintu masuk antarabangsa (PMA).

Menurut beliau, bagi sampel air di peringkat negeri, ia diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan.

Ujarnya, sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan mengikut keperluan.

“Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi proses pengujian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Noor Hisham menambah, bagi sampel dari PMA, ia dijalankan menerusi pengambilan air kumbahan yang dilepaskan pesawat ke fasiliti pelupusan sisa pesawat (AWDF).

Kata beliau, sampel tersebut kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian yang dijalankan sebanyak dua kali seminggu.

“Bagi survelan air kumbahan daripada pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil dari pesawat terpilih dan dihantar ke MKAK.

“Sampel air kumbahan yang telah dikumpul dan diterima di makmal akan dijalankan proses konsentrasi virus diikuti proses pengekstrakan RNA virus SARS-CoV-2.

“Seterusnya, proses amplifikasi dan pengesanan virus akan dilakukan menggunakan kaedah Real Time RT-PCR menggunakan kit khas bagi sampel air kumbahan.

“Keputusan ujian seterusnya dikongsikan dengan pegawai epidemiologi bagi analisis dan pengumpulan data terperinci untuk melihat tren sebagai survelan berterusan dan proses intervensi,” ulasnya.

Noor Hisham turut menyatakan, kaedah tersebut akan digunakan melibatkan sampel dari China.

“Ini akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari Republik China sebagai salah satu langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa ini,” tambah beliau.