Liverpool belum sedia 'tabur duit'

in Sukan by

Klopp – Foto AFP

JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp belum bersedia untuk ‘menabur duit’ pada jendela perpindahan bulan ini selepas melabur besar menandatangani Cody Gakpo.

The Reds bertindak pantas mendapatkan bintang Belanda yang mewakili PSV Eindhoven itu menerusi perjanjian yang dilaporkan menelan belanja kira-kira £37 juta (RM196.8j).

Liverpool mengesahkan kedatangan Gakpo sebelum jendela perpindahan dibuka.

Bagaimanapun pemain berusia 23 tahun itu menjadi penonton dalam kemenangan 2-1 ke atas Leicester City bagi pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield Sabtu lalu.

Klopp berulang kali menegaskan belum bersedia untuk berbelanja sewenang-wenangnya dan keputusan itu tidak pernah berubah.

“Saya memegang tugas ini lebih tujuh tahun dan langkah dalam setiap jendela perpindahan juga masih sama. Kami bercakap tentang perkara ini seolah-olah wang tidak akan memainkan apa-apa peranan.

“Saya tidak mahu menghampakan sesiapa tetapi kami telah menandatangani seorang pemain yang hebat iaitu Cody (Gakpo), kemudian perkara seterusnya yang anda terbaca ialah ‘siapa seterusnya?’.

“Sejujurnya, kami tidak mampu bermain seperti monopoli. Sudah tentu kami tidak boleh sekadar berbelanja. Ia adalah sebahagian daripada falsafah saya, menerapkan sepenuhnya kepercayaan kepada pemain sedia ada.

“Kami tidak memberitahu pemain bahawa kami memerlukan tonggak lain untuk posisi mereka,” katanya.

Klopp memberitahu, tindakan memancing Gakpo adalah jelas, bukan sahaja kerana kekosongan tetapi kualiti yang dimiliki pemain itu.

“Jika kita menunggu musim panas maka harganya pasti lebih mahal atau orang lain akan membelinya.

“Dia berpotensi besar dan adalah masuk akal untuk mendapatkannya berdasarkan corak permainannya. Kami akan mengharungi banyak perlawanan.

“Jelas sekali anda perlu membawa pemain kualiti dalam semua posisi. Anda memerlukan dua set pasukan di tahap yang sama yang boleh digilirkan, jadi itulah yang kami cuba lakukan,” katanya.