Mohon PM beri hak pengurusan telaga minyak kepada Kelantan

in Nasional by

Metra memohon pertimbangan daripada Perdana Menteri untuk memberi hak pengurusan telaga minyak di pantai Kelantan kepada kerajaan negeri. (Gambar hiasan – Foto 123rf)

SHAH ALAM – Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia (Metra) memohon pertimbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi hak pengurusan telaga minyak di pantai Kelantan kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Metra, Ir Ariffahmi Ab Rahman berkata, langkah itu sebagai solusi segera mengenai kemelut bayaran royalti yang tidak berkesudahan sejak sekian lama.

“Semua telaga minyak di pantai Kelantan sememangnya diurus oleh Petronas sejak sekian lama. Malangnya bayaran royalti telah tertunggak lebih dari 20 bilion gagal dibayar sehingga kini.

“Metra percaya dalam keadaan kedudukan industri semasa dunia dan rekod pengeluaran industri dari Petronas serta kedudukan kewangan negara semasa yang terus menyusut maka pelbagai alasan boleh diberikan untuk menafikan hak kerajaan negeri dan rakyat untuk mendapat bayaran royalti tersebut.

“Justeru, Metra merasakan bahawa sudah tiba masanya Perdana Menteri perlu mempertimbangkan untuk memberikan kerajaan negeri hak mengurus sendiri bagi semua atau sebahagian dari telaga minyak dari pantai Kelantan itu sebagai solusi segera dari kemelut bayaran royalti yang tidak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, kerajaan negeri mempunyai tenaga pakar untuk mengurus keperluan berkenaan dan perlu membuat persediaan ke arah itu.

“Pihak Petronas boleh dirunding untuk menjadi penasihat bagi memulakan industri ini supaya kerajaan negeri dan rakyat Kelantan akan mendapat manfaat terus dan cepat tanpa menunggu polemik royalti yang panjang tanpa kesudahan,” ujarnya.

Selain itu, Ariffahmi menggesa Perdana Menteri untuk menilai semula kedudukan Kelantan dengan mengembalikan hak pendaratan gas di pantai Bachok.

“Umum mengetahui bahawa sumber gas di pantai Kelantan telah dibawa ke selatan Thailand melalui paip untuk diproses di Songkla dan disambungkan ke negeri Kedah.

“Perkara ini amat merugikan negeri Kelantan dan telah menyekat potensi negeri dalam membangunkan industri gas di pantai Bachok. Rakyat Kelantan juga telah dinafikan untuk mengaut semua limpahan aktiviti industri tersebut,” dakwanya.

Beliau juga percaya bahawa Petronas mempunyai pelbagai pilihan untuk membuat penjajaran semula dalam komponen pengeluaran bagi memastikan kerajaan negeri diberi sumber tenaga supaya keperluan industri dan rakyat Kelantan mendapat manfaat terbanyak dalam perkara berkenaan berdasarkan sumber gas adalah dari Pantai Kelantan.

“Perkara ini juga selaras dengan penyiapan semua infrastruktur utama seperti lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang antarabangsa,projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan lain yang bakal menjadi enjin penggalak (boster engine) kepada potensi pengembangan industri di pantai timur semenanjung,” katanya.

Menurut Ariffahmi, cadangan itu perlu dipertimbangkan untuk menemui solusi segera dan manfaat berpanjangan bagi kerajaan dan rakyat Kelantan.