Operasi lapangan terbang di Manila dijangka pulih dalam 3 hari

in Global by

Para penumpang menunggu maklumat mengenai penerbangan masing-masing di terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy di Pasay, Metro Manila pada Ahad.

ISTANBUL – Perkhidmatan penerbangan di Lapangan Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina yang terjejas susulan krisis elektrik dijangka pulih sekurang-kurangnya dalam tempoh 72 jam.

“Setakat semalam, kami menerima kira-kira 20 ketibaan dalam masa sejam. Pada masa ini, kami hanya menerima 15 ketibaan sejam tetapi tiada had untuk pelepasan,” kata pengurus besar pihak berkuasa lapangan terbang, Cesar Chiong kepada penyiar tempatan ABS-CBN pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Lapangan terbang utama di Manila itu mengalami gangguan bekalan elektrik pada Ahad yang menjejaskan penerbangan selain menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas.

“Berdasarkan pengalaman kami dalam bencana taufan sebelum ini, syarikat penerbangan memerlukan sekurang-sekurangnya 72 jam untuk mengatasi masalah gangguan bagi membolehkan operasi pulih seperti biasa,” kata Chiong.

Sementara itu, pihak berkuasa pengurusan bencana memaklumkan pada Isnin bahawa angka kematian akibat hujan lebat dan banjir yang melanda Filipina pada Krismas telah meningkat kepada 51 orang manakala 19 yang lain masih hilang. – Bernama