Pan-gon miliki 'ramuan' atasi Singapura

in Sukan by

Pan-gon – Foto FB FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan Gon memiliki ramuan dalam usaha memastikan kemenangan ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Menurutnya, para pemain Harimau Malaya sudah cukup matang dan profesional serta mampu menterjemahkan pendekatan yang mahu digunakan mengatasi negara Seberang Tambak itu.

“Esok bergantung kepada kemahuan kami sendiri untuk berjuang. Dengan pendekatan yang tepat, menghormati Singapura dan sedar sepenuhnya perlawanan esok adalah amat penting maka ia akan menjadi kisah berbeza.

“Saya sudah bersama mereka empat minggu dan lihat mereka sangat matang dan profesional.

“Saya percaya mereka akan menghormati lawan dan berjuang dengan pendekatan tepat untuk memberikan persembahan terbaik dan keputusan yang bagus,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Malaysia ketika ini berada di kedudukan ketiga kumpulan di belakang Singapura yang memiliki kelebihan satu mata.

Skuad negara wajib menang manakala Singapura cukup sekadar seri untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.

Pan-gon juga menyedari rekod pertemuan kedua-dua pasukan lebih memihak kepada Singapura, namun percaya pasukannya jauh berbeza berbanding pertemuan terakhir menyaksikan Malaysia tewas 1-2 pada Mac lalu.

“Saya minta maaf untuk katakan kepada mereka bahawa kami sudah berbeza. Mereka bermain agak negatif manakala kami bermain lebih proaktif.

“Mereka lebih gemar untuk bertahan dan serangan balas tapi Malaysia berbeza. Ini bukan perbandingan tahap pasukan, sebaliknya pendekatan atau cara kami untuk menang.

“Kami mahu proaktif, mendominasi, bertenaga dan dinamik demi mencapai kemenangan. Singapura mempunyai gaya tersendiri dan kami amat menghormati gaya mereka dan kami akan menggunakan pendekatan kami,” katanya.

Dalam masa sama, Pan-gon juga menegaskan Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri selain mengharapkan penyokong negara dapat turun ke stadium.

“Penyokong Harimau Malaya sentiasa memberikan sokongan ketika kami beraksi tetapi esok kami mengharapkan sokongan luar biasa daripada mereka.

“Kami mahu menjadikan perlawanan esok umpama festival. Jadi, semua datang menyokong dan kami akan berikan persembahan terbaik kami,” katanya.