'Pastikan telur ayam, minyak masak peket cukup'

in Edisi by

Mohamad Yusrizal (tengah) melakukan pemantauan harga barangan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, pada Isnin.

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) meminta kerajaan memastikan bekalan barangan keperluan terutamanya telur ayam dan minyak masak peket sentiasa mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada 22 Januari ini.

Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, bekalan telur ayam dikhuatiri masih bermasalah di kedai-kedai runcit meskipun bekalan di pasaraya besar telah kembali pulih.

“Kita lihat minggu lepas adalah musim cuti sekolah, kita dapati permintaan telur yang tinggi tetapi masih belum mencukupi di negeri ini walaupun kerajaan sudah membawa masuk telur import.

“Selepas sesi persekolahan bermula dan cuti sekolah berakhir, permintaan terhadap telur mungkin menurun tetapi hanya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi kita akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya selepas pemantauan harga barangan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, Cake berharap masalah bekalan barangan terbabit dapat diselesaikan segera berikutan permintaan terhadap telur ayam pastinya akan meningkat semula.

Mohamad Yusrizal berkata, masalah bekalan minyak masak peket juga didapati masih berlarutan namun masih tidak selesai sehingga kini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Yusrizal berkata, harga sayur-sayuran dan ayam di Kedah juga didapati masih stabil.

Sementara itu, peniaga runcit Milatul Shamsul Mohd. Fauzi, 36, berharap kerajaan mengambil langkah tegas untuk memastikan bekalan kedua-dua barangan sentiasa mencukupi.

Menurutnya, peniaga kedai runcit masih menerima bekalan telur ayam dalam jumlah terhad, sekaligus menyebabkan pelanggan khususnya peniaga makanan merungut kerana sukar mendapatkan bekalan barangan itu.