Rugi RM124,000 dalam tempoh sejam

in Berita Semasa by

Mohamad Yusrizal (tengah) ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar pada Isnin.

ALOR SETAR – Seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan melibatkan transaksi meragukan melalui penggunaan kad kreditnya sehingga mencecah RM124,000.

Mangsa, Fatahul Laham Mohamed berkata, transaksi mencurigakan tersebut melibatkan enam akaun bank miliknya berlaku sekelip mata dalam tempoh hampir sejam sahaja.

Susulan itu, beliau terpaksa melalui pelbagai prosedur di bank-bank terlibat untuk mendapatkan semula wang terbabit sejak beberapa bulan lepas.

“Bagaimanapun, saya kini hanya mendapat semula sebahagian wang dari sebuah bank walaupun mengambil masa sehingga enam bulan, manakala wang lain daripada lima bank lagi tidak berjaya sehingga kini.

“Saya yakin ramai lagi yang kena tetapi transaksi sampai ratusan ribu ringgit memang tidak logik dalam tempoh satu jam sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berharap Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan sesuatu dan mengambil tindakan lebih serius bagi memastikan kes penipuan kad kredit tidak terus berlaku.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff mempersoalkan bagaimana sindiket penipuan boleh membuat transaksi mencurigakan mencecah ribuan ringgit dengan mudah membabitkan penggunaan kad kredit.

Pihaknya yang turut menerima aduan daripada mangsa penipuan melibatkan penggunaan kad terbabit memberitahu, kes yang berlaku itu menimbulkan rasa bimbang kepada pengguna yang memiliki kad kredit dan merasakan ia tidak selamat.

“Apabila dapat panggilan seperti itu sahaja (scammer) boleh lakukan transaksi dengan mudah. Ini adalah satu jenayah yang amat serius.

“Mangsa pun sudah buat laporan tetapi yang malangnya sehingga kini tiada tindakan lanjut.

“Saya rasa ini bukan salah mangsa sebab mangsa tidak pernah bersetuju untuk membeli apa-apa ataupun mahu bersetuju dengan apa pun,” katanya.

Mohamad Yusrizal berkata, beliau turut mempersoalkan tahap sekuriti kad kredit dimiliki industri perbankan terlibat hingga menyebabkan berlaku banyak transaksi mencurigakan.