Syor tiga langkah proatif urus kemasukan pelancong China

in Nasional by

Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia syor tiga langkah proaktif pengurusan kemasukan pelancong China ke negara ini. – Foto 123RFFathir Badri

SHAH ALAM – Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) mengesyorkan tiga langkah proaktif pengurusan kemasukan pelancong China sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 di negara ini.

Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, langkah tersebut melibatkan ujian praberlepas 48 jam, ujian saringan Covid-19 di pintu masuk negara dan mewajibkan kuarantin sekurang-kurangnya tiga hari sebelum membenarkan mereka meneruskan aktiviti jika perlu.

“Dengan cara ini, kita akan tetap dapat menarik mereka (pelancong China) untuk datang ke Malaysia.

“Hubungan baik antara dua negara juga perlu dipelihara dan SAFTTA turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mengingatkan untuk lebih berhati-hati dalam memberi komen terhadap China kerana kita tidak boleh mendiskriminasi negara itu ekoran mereka turut mengambil langkah perlu sebelum membenarkan warganya ke luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[2043098]**

Dalam pada itu, Fathir turut mengingatkan kepentingan pelancong dan pelabur China membangunkan semula ekonomi Malaysia.

Ini kerana katanya, China merupakan negara perdagangan terbesar dunia selain perbelanjaan pengembara China secara global bernilai lebih daripada RM1.1 trilion setahun sebelum pandemik itu melanda.

“Pada tahun 2020 ketika wabak Covid-19 menular, banyak negara tidak bersedia dan tidak tahu prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk mencegah, akibatnya ekonomi dunia lumpuh.

“Tetapi kini setelah lebih dua tahun wabak itu melanda, banyak negara telah mempunyai vaksin dan mempelajari kaedah bagi mengelakkan penularannya.

“Oleh itu amat wajar untuk kita terus mempertingkatkan kempen promosi pelancongan di China dan bukannya menyekat mereka dari datang ke Malaysia,” katanya.