36 keluarga terjejas rumah dipukul ombak terima bantuan

in Edisi by

Hajiji menyampaikan bantuan ihsan daripada kerajaan negeri kepada penduduk yang terjejas selepas rumah mereka dipukul ombak dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Nasib 36 keluarga yang terjejas akibat fenomena air pasang di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini mendapat perhatian apabila kerajaan Sabah menyalurkan bantuan wang ihsan kepada mereka terlibat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemilik kepada tiga rumah yang roboh manakala 33 lagi yang rosak diberikan bantuan untuk mereka membina semula atau membaik pulih rumah masing-masing.

“Saya berkesempatan untuk melawat mangsa rumah akibat dipukul ombak besar di Kampung Tanjung Ari ini dan didapati mangsanya terdiri daripada 36 orang di mana tiga rumah roboh sepenuhnya manakala 33 rumah lagi ada sebahagian rumah yang rosak.

“Jadi kerajaan memutuskan bantuan sebanyak RM20,000 untuk membina rumah baharu itu sebagai tambahan untuk meringankan beban mereka manakala RM10,000 untuk setiap satu rumah yang rosak.

“Selain itu, bantuan kecemasan RM1,000 untuk setiap keluarga bagi meringankan bebanan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dan meninjau lokasi kawasan rumah yang terjejas di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, pada Selasa.

Ditanya mengenai perkembangan bagi mangsa yang terjejas di Kampung Forest, Sandakan, Hajiji berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada jawatankuasa bencana alam di daerah itu sebelum keputusan diambil.

“Kita masih lagi menunggu laporan daripada jawatankuasa bencana alam di Sandakan, kerana ada beberapa pendapat di sana, satu mereka (penduduk) tidak mahu dibina rumah di kawasan tersebut.

“Jadi sekarang kita sedang mencari satu kawasan yang sesuai dan ada mangsa yang kita pindahkan ke pusat pemindahan sementara iaitu di perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Jadi kita tunggu dulu laporan itu baru kita boleh buat keputusan atau bantuan,” jelasnya.

Sebelum itu, dalam kejadian 22 Disember lalu, sebanyak tiga rumah roboh manakala selebihnya terjejas akibat dipukul ombak di Kampung Tanjung Aru Baru manakala pada 24 Disember lalu, lebih 100 rumah turut roboh di Kampung Forest, Sandakan.