4 MP Sabah sudah hantar jawapan kepada Speaker – Hajiji

in Politik by

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi rumah penduduk yang terjejas akibat dipukul ombak besar di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan empat ahli Parlimennya telah menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung isu dakwaan kekosongan empat kerusi Parlimen oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membuat keputusan mengenainya.

“Mereka (Bersatu) sudah menghantar petisyen dan pihak kita yang empat orang ahli Parlimen itu juga telah menghantar jawapan atau petisyen kepada Speaker.

Banyak spekulasi di luar ini, macam-macam tetapi kita di dalam, kita tahu rentetan, keadaan yang berlaku.

“Tetapi saya yakin Speaker akan buat keputusan yang terbaik kerana mereka sebenarnya sudah memenuhi (syarat) bahawa mereka tidak terlibat dalam Akta Anti Lompat Parti ini,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi rumah penduduk yang terjejas akibat dipukul ombak besar di Kampung Tanjung Aru, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan mengenai tindakan Bersatu yang menghantar notis berkaitan kekosongan empat kerusi Parlimen baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan parti baharu yang akan disertai bekas ahli Bersatu, Hajiji yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kamu tunggu saja dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan nanti,” katanya.

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan bahawa Bersatu telah menghantar notis kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) kepada Speaker Dewan Rakyat.

Notis itu bagi memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengosongkan kerusi mereka.