Abdul Rahman Naib Canselor USM baharu

in Edisi Utara by

Abdul Rahman (kanan) dan Faisal Rafiq (kiri) ketika ditemui pada majlis khas diadakan di USM selepas pelantikan Naib Canselor baharu.

GEORGETOWN – Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed diumumkan sebagai Naib Canselor kesembilan Universiti Sains Malaysia (USM) berkuat kuasa mulai hari ini (Selasa).

Abdul Rahman sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei 2018 sehingga kini.

Selain memiliki pengalaman pentadbiran yang sangat luas, beliau juga ialah seorang penyelidik yang disegani terutamanya dalam bidang Applied Sciences and Technologies di dalam mahupun luar negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang telah dipilih untuk Accelerated Programme for Excellence (APEX), KPT yakin dengan Abdul Rahman.

Pelantikan itu juga dibuat berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau baik dari aspek kepimpinan mahupun penyelidikan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dalam satu majlis khas mengalu-alukan pelantikan Abdul Rahman Mohamed sebagai Naib Canselor USM yang baharu.

Beliau menyeru semua warga USM untuk memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu kerana usaha memastikan kecemerlangan USM adalah tanggungjawab bersama.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor USM mulai 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022.