Dakwaan kebakaran Wisma Jakel disengajakan tidak logik

in Berita Semasa by

Mohamed Faroz

SHAH ALAM – Dakwaan kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini disengajakan kerana hendak menuntut insurans adalah tidak logik, tegas Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Beliau sebaliknya mempersoalkan dakwaan tular di media sosial itu memandangkan cawangan gedung tekstil di Shah Alam adalah kedua paling maju selepas Jakel Mall, Kuala Lumpur.

“Shah Alam merupakan kedua terbanyak jualan yang mana setahun memberikan sebanyak hampir RM300 juta, buat apa kita bakar?

“Sudah dua minggu berturut-turut orang ramai disebabkan cuti sekolah. Kejadian berlaku pada hari Ahad, iaitu seminggu sebelum tamat jualan murah dan memang orang tengah sesak beli barang.

“Hari Jumaat pun barang berapa juta masuk (seperti) kain-kain baru untuk menyokong jualan. Kemudian, hari raya lagi tiga bulan dan memang waktu untuk membeli-belah selain Shah Alam kebiasaannya padat kalau musim perayaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohamed Faroz menambah, bukan kerja pihaknya untuk melakukan perbuatan kotor seperti itu.

“Kita ada lebih 500 pekerja, gaji pun kita komited bayar. Ini kedai tutup setahun kita hilang jualan. Gaji sebulan berapa? Lebih RM2 juta. Kalau kita bakar, mana nak dapat RM2 juta untuk bayar (gaji).

“Insurans bukan boleh bayar esok. Insurans nak kena proses dan ada prosedur. Mungkin enam bulan atau setahun.

“Selepas itu jumlah barang lebih daripada insurans. Buat apa kita nak ambil satu langkah yang merosakkan nama Jakel. Apabila ini berlaku, kita pun terkesan. Tetapi kita reda dengan kehendak ALLAH dan yakin ada hikmah di sebaliknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat fitnah tersebut selain telah membuat laporan polis mengenainya.

“Kita akan buat beberapa lagi laporan polis dan sudah dapatkan maklumat-maklumat (ini) semua serta meneruskan (tindakan undang-undang) bagi pemfitnahan-pemfitnah ini,” katanya.