Gesa kerajaan keluar SOP sebelum kemasukan pelancong China

in Nasional by

MITA gesa kerajaan agar keluarkan SOP yang jelas sebelum kedatangan pelancong dari China bermula Isnin ini. – Foto 123RF

SERDANG – [DIKEMAS KINI] Majlis Pelancongan Malaysia (MITA) menggesa kerajaan agar mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas sebelum kedatangan pelancong dari China bermula Ahad ini.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, ini sebagai persediaan kepada pemain industri terlibat antaranya syarikat penerbangan dan petugas barisan hadapan.

“Kami cadangkan kerajaan keluarkan SOP ini pada 5 Januari dan dengan tarikh ini kita boleh menerima SOP tersebut tanpa rasa gusar. Kami berharap kerajaan boleh umum secepat mungkin supaya kami boleh akur dan patuh SOP tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan MIHARA Aviation di sini, hari ini.

China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Uzaidi berkata, kolaborasi MITA bersama MIHARA Aviation, sebuah syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan pesawat ringan untuk rekreasi udara bakal menjadi produk baharu ejen pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong menghayati keindahan ibu kota dari udara.

Beliau berkata, MIHARA Aviation juga akan bekerjasama dengan lebih banyak syarikat pelancongan bagi menghidupkan semula industri pelancongan menerusi perkhidmatan ‘Helicopter Tour’ di sekitar ibu kota.

“Ini amat penting untuk kita mempunyai produk yang berinovasi, baharu dan kreatif agar dapat menarik pelancong melawat negara ini setiap tahun,” katanya. – Bernama