Hero tidak didendang dalam insiden runtuh di Batang Kali

in Pojok by

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada pertengahan Disember lalu. – FOTO ROSLI TALIB

DISEMBER menjadi antara bulan pada tahun 2022 yang penuh dengan tragedi menyayat hati. Mana tidaknya, bermacam kes berlaku.

Antaranya kes letupan bungkusan yang mengakibatkan seorang pekerja restoran di Pandan Indah, Ampang maut, serta dua penuntut universiti swasta dilaporkan meninggal dunia ketika berkelah di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu.

Paling tragis, kes tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali yang meruntun jiwa rakyat Malaysia.

Tragedi itu melibatkan 92 mangsa di mana 31 dilaporkan terkorban termasuklah kanak-kanak.

Merak Jalanan juga tidak terkecuali mengikuti perkembangan di lokasi kejadian.

Tragedi berkenaan juga membuktikan bagaimana rakyat Malaysia bersatu untuk usaha menyelamat mangsa.

Selain penglibatan pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), harus diketahui ada pasukan ibarat hero tidak didendang.

Mereka ialah petugas pembersihan iaitu kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Merak Jalanan melihat sendiri petugas pembersihan ini melakukan kerja yang sangat hebat.

Menaiki motosikal beroda tiga dan berulang-alik keluar masuk antara rutin harian mereka.

Sekali trip boleh nampak ruangan motosikal roda tiga itu penuh dengan beg plastik yang memuatkan sampah, antaranya bekas makanan dan botol air.

Dalam keadaan apa jua masa, tidak kira siang atau malam, mereka tetap bekerja. Mereka setia dengan tugas yang diberikan.

Malah, agensi media lain yang membuat liputan di lokasi kejadian juga mengakui kagum dengan petugas-petugas berkenaan.

Tanpa mereka, sudah tentu sampah-sampah di situ akan terus terbiar sehingga kini.