Kunci jadi rebutan selepas banjir

in Edisi Kelantan by

Mohd Azlan di hadapan kedai kunci bergeraknya yang beroperasi dari jam 2 petang hingga 6.30 petang di Gual Tinggi, Rantau Panjang.Mohd Azlan melayan pelanggan yang membuat kunci motosikal di kedainya.

RANTAU PANJANG – Selain peralatan rumah, kunci juga menjadi ‘rebutan’ dalam kalangan mangsa banjir di sini.

Ia diakui sendiri oleh tukang kunci, Mohd Azlan Ab Ghani, 42, apabila tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan bagi mendapatkan kunci pendua selepas ianya hilang disebabkan banjir melanda.

“Sepanjang pascabanjir, permintaan terhadap kunci baharu sangat tinggi.

“Dalam sehari saya perlu menyiapkan lebih 20 kunci untuk pintu rumah, kenderaan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedai kunci bergerak miliknya di Gual Tinggi di sini pada Selasa.

Menurut dia, kebanyakan pelanggan mendedahkan mereka kehilangan kunci disebabkan oleh air naik terlalu cepat sekali gus membuatkan mereka panik dan terlupa barangan penting itu.

Ujarnya, bukan itu sahaja, ramai pemilik kenderaan terpaksa membuat kunci baharu selepas lupa atau tersilap letak disebabkan beberapa kali berpindah randah sepanjang banjir.

**media[2043792]**

Mohd Azlan memberitahu, harga yang ditetapkan bagi setiap kunci ialah serendah RM2 hinggalah ada yang mencecah RM400 mengikut saiz serta bentuk.

“Saya bekerja sebagai tukang kunci sambilan sahaja, kerana pekerjaan tetap ialah sebagai penyelia.

“Pekerjaan ini dibuat kerana minat dan ia tercetus pada tiga tahun lalu ketika negara dilanda Covid-19, ketika itu sukar untuk bekerja. Jadi saya buat kedai bergerak untuk memudahkan urusan pelanggan mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, dia tidak menyangka cubaan tersebut membuahkan hasil dan sehingga sekarang masih menjadi tukang kunci bermula pada jam 2 petang hingga 6.30 petang di Gual Tinggi.