Lelaki ditemukan mati di restoran

in Berita Semasa by

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang lelaki berketurunan Siam ditemukan mati di sebuah restoran di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat lelaki berusia 31 tahun pada jam 7.45 malam.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai tiga bilik tidur,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan hanya terdapat kesan jerutan pada leher.

Ujarnya, barangan milik mangsa juga tiada yang hilang.

Mohd Rosdi memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan Asphyxia iaitu kekurangan oksigen dalam badan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499).