Pelajar 15 tahun maut langgar lori

in Berita Semasa by

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di Jalan Lapangan Terbang berhampiran LTSAS, Kuantan pada Isnin.

KUANTAN – Seorang pelajar sekolah menengah di Kuantan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah lori menyebabkan ia terbabas dan merempuh sebuah kereta di Jalan Lapangan Terbang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan pada Isnin.

Pelajar berusia 15 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, nahas membabitkan tiga buah kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha LC 135, lori Nissan dan Perodua Axia.

“Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal dari arah LTSAS menghala ke arah Kuantan manakala pemandu lori dan pemandu kereta dari arah Kuantan menghala ke LTSAS.

“Ketika pemandu lori sedang membelok ke simpang sebelah kanan, secara tiba-tiba mangsa yang datang dari arah bertentangan telah melanggar lori lalu terbabas melanggar kereta yang datang dari arah Kuantan,” katanya pada Selasa.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori yang gagal memberi laluan kepada kenderaan yang bergerak lurus.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan tiada rekod saman, begitu juga mangsa.

“Namun, pemandu kereta mempunyai dua rekod saman lampau iaitu pandu laju yang dikesan menerusi sistem Saman Cops,” ujar beliau.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat dan sampel darah seta urin mangsa diambil untuk tujuan toksikologi.

Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.