Pembuatan Malaysia terus sederhana, PMI susut kepada 47.8

in Bisnes by

Gambar hiasan – Foto 123RF

SEKTOR pembuatan Malaysia terus menempuh keadaan perniagaan yang mencabar menjelang Disember 2022, dengan Indeks Pengurusan Pembelian Pembuatan (PMI) berkurangan kepada 47.8 berbanding 47.9 pada November, kata SP Global.

“Ini menandakan kelembapan keadaan operasi yang keempat berturut-turut di seluruh sektor perkilangan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesederhanaan ini, walaupun secara meluas sejajar dengan yang dilihat pada November, adalah yang paling ketara sejak Ogos 2021, tambah firma penyelidikan itu.

Pakar Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Laura Denman berkata, permintaan pelanggan yang tidak memberangsangkan, yang menyumbang kepada kesederhanaan berterusan dalam pengeluaran dan tempahan dalam tangan, kekal sebagai faktor utama dalam data PMI Disember.

Kesederhanaan dalam jumlah tempahan dalam tangan, walaupun menurun sedikit berbanding November, kekal lebih kukuh daripada purata untuk tahun ini secara keseluruhan yang kemudiannya menyebabkan banyak syarikat mengurangkan pengeluaran pada kadar yang kukuh.

“Petunjuk untuk ke hadapan mencadangkan bahawa syarikat-syarikat ini telah menjangkakan keadaan akan kekal mencabar pada bulan-bulan akan datang seperti yang diisyaratkan oleh pengurangan lanjut dalam pembelian input, pengurangan tahap inventori serta prospek pengeluaran yang agak lemah sepanjang tahun depan.

“Bagaimanapun, dengan permintaan yang berkurangan, prestasi pembekal telah pulih sedikit dengan data Disember menandakan tiada perubahan dalam masa penghantaran dari bulan sebelumnya, susulan urutan tiga tahun, yang mana masa penghantaran telah dipanjangkan hampir setiap bulan,” katanya.

S&P Global berkata, dengan purata 48.1 pada suku akhir tahun ini, PMI tersebut mewakili kira-kira 5.0 peratus pertumbuhan dari tahun ke tahun keluaran dalam negara kasar Malaysia, sekali gus mencerminkan beberapa kehilangan momentum daripada situasi pada suku ketiga.

Walaupun pengeluaran menyusut, terdapat bukti kapasiti ganti dalam sektor pembuatan Malaysia dan banyak syarikat terus mengurangkan tunggakan kerja, dengan itu memanjangkan urutan kesederhanaan semasa kepada tujuh bulan.

“Pengilang yakin akan peningkatan pengeluaran dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan beberapa firma berharap keadaan pasaran akan bertambah baik pada tahun baharu.

“Oleh itu, kebimbangan mengenai potensi keadaan permintaan yang akan terus tidak bermaya menjelang 2023 bermakna sentimen perniagaan kekal agak lemah pada Disember, dengan catatan di bawah purata sejarah,” kata S&P Global.

Data PMI Disember juga menunjukkan bahawa pesanan baharu serta permintaan asing, kedua-duanya menyederhana pada Disember, memanjangkan urutan pengurangan semasa masing-masing kepada empat dan enam bulan, katanya.

Tekanan kos dan bekalan mencerminkan momentum penyusutan pada Disember, dengan prestasi vendor stabil pada bulan itu, mengakhiri urutan kemerosotan selama tiga tahun, manakala banyak syarikat menurunkan harga jualan mereka buat kali pertama kali sejak Mei 2020. – Bernama