Pemilik stesen minyak didakwa perdaya ahli perniagaan RM2.3 juta

in Berita Semasa by

Hanafi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdaya seorang ahli perniagaan sehingga menyerahkan RM2.3 juta pada Jun tahun lalu.

Tertuduh, Hanafi Husin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Mengikut pertuduhan pertama, Hanafi didakwa menipu seorang lelaki berusia 34 tahun dengan menawarkan perniagaan minyak diesel secara sah sehingga memperdayakan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2.3 juta secara tunai dan dimasukkan ke dalam akaun miliknya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat penjualan rampasan diesel bertarikh 23 Mei lalu dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor bagi memperdaya individu sama.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat pelesenan gas petroleum cecair (LPG) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 1 Johor bagi memperdaya ahli perniagaan itu.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat status kapasiti bawah tanah bagi produk diesel dan petrol dan sokongan bagi membekal RON97 dan diesel bagi premis kawasan perindustrian Pasir Gudang bertarikh 20 Jun lalu, dari Boustead Marketing Sdn Bhd bagi memperdaya individu sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di syarikat milik tertuduh di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 12 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Selain itu tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Januari sebagai tarikh sebulan semula kes.