Penjara bukan sekadar tempat jatuhkan hukuman

in Nasional by

Saifuddin Nasution

KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia akan memberi penekanan kepada aspek pemulihan banduan dalam usaha mengurangkan jumlah penghuni penjara di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa program yang telah dijalankan Penjara Malaysia berjaya mengurangkan kadar jenayah berulang kepada hanya satu daripada setiap 800 banduan yang dibebaskan.

“Beberapa program telah dijalankan dengan jayanya seumpama program parol, percubaan, dan pembebasan berlesen di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995 di mana statistik menunjukkan kejayaan yang ketara.

“Elemen ‘correctional’ ini boleh dilakukan dengan jayanya kalau kita sasarkan kepada sekitar 18,000 pesalah yang menjalani hukuman kurang dari tiga tahun. Aspek ini kita akan beri penekanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga dalam perancangan untuk menyegerakan penambahan perjawatan membabitkan pegawai di Jabatan Penjara.

Saifuddin berkata, sebanyak 1,480 kekosongan jawatan perlu diisi melibatkan 1,300 pegawai beruniform dan kakitangan awam (180 orang).

“Kita telah berbincang secara langsung dengan Ketua Setiausaha Negara bagi memudahkan proses-proses berkaitan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyegerakan pengisian tersebut.

“Sudah tentu penambahan ini ada implikasi kewangan tetapi ianya munasabah, khususnya untuk kita tambah kekuatan anggota Jabatan Penjara,” ujar beliau.

Selain itu, KDN juga sedang meneliti cadangan bagi menaik taraf premis penjara yang telah dibina sejak tahun 70-an bagi menampung jumlah penghuni yang dianggarkan sekitar 74,000 orang di seluruh negara ketika ini.

“Sebolehnya kita tidak mahu pertambahan penjara baharu sebab kita mahu kurangkan kadar jenayah dan dengan sendiri penghuni penjara juga dapat dikurangkan.

“Kita susun sekarang untuk bangunkan semula penjara-penjara lama. Kita masukkan dalam pelan perancangan dan kenal pasti beberapa premis penjara serta rundingan berhubung perkara itu sudah berjalan,” ujar beliau.