Premis perjudian berlesen akur tutup kedai

in Edisi Utara by

Notis penutupan premis perjudian bagi memaklumkan kepada pelanggan berhubung tindakan kerajaan yang tidak memperbaharui lesen berkenaan.Premis perjudian yang ditutup kerana akur arahan penutupan kerajaan negeri Kedah.

SUNGAI PETANI – Tiada lagi premis perjudian berlesen dibuka di bandar ini setelah arahan kerajaan negeri tidak membenarkan lesen berkenaan diperbaharui bermula Januari 2023 ini.

Tinjauan di beberapa lokasi di bandar ini menunjukkan premis milik syarikat perjudian telah pun ditutup berikutan akur arahan kerajaan negeri.

Terdapat juga notis penutupan yang ditampal di hadapan premis bagi memaklumkan tindakan itu kepada pelanggan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kedah diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian dan loteri di negeri ini mematuhi arahan penutupan sepenuhnya bermula 1 Januari ini.

**media[2044050]**

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua lesen premis tersebut tidak lagi diperbaharui dan tamat tempoh pada 31 Disember 2022.

Ia juga selaras dengan keputusan yang diputuskan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021.

Selain itu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyambut baik tindakan kerajaan negeri menamatkan sepenuhnya operasi premis perjudian terbabit.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff mengucapkan tahniah terhadap tindakan tegas kerajaan negeri dan berharap agar penguatkuasaan lebih ketat dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan berkenaan.