'Saya datang ke Penang bukan saja-saja'

in Sukan by

Danish Haziq – Foto Penang Football Club

PERTAHANAN baharu Penang FC, Danish Haziq Saipul Hisham menyifatkan perpindahannya ke skuad Harimau Kumbang itu secara pinjaman sebagai nafas baharu untuk kembali bangkit saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

“Memang satu nafas baharu sebab saya datang ke Penang bukan saja-saja, tetapi saya nak dapatkan tempat dan pastikan diri saya dalam keadaan terbaik sebab ketika di Perak, saya baru sahaja pulih.

“Bukan senang untuk bangkit selepas ACL (Anterior Cruciate Ligament), namun saya tidak akan mengalah, jadi inilah masanya untuk cuba sekali lagi walaupun hanya dipinjamkan ke Penang dan saya percaya mampu untuk mendapatkan kembali minit permainan.

“Saya tidak boleh merasa cepat selesa dan kena bersaing dengan lebih kuat terutamanya dalam latihan sebab saya sedar bukan senang untuk kita kekal dalam pasukan pada musim akan datang kalau tidak dapat peluang beraksi,” katanya.

Untuk rekod, Danish hanya sempat melakukan tiga penampilan sahaja ketika bersama Perak FC pada musim ini susulan kecederaan berulang memandangkan dia pernah berdepan ACL pada November 2021.

Justeru, kehadirannya ke Penang FC pada musim 2023 adalah peluang yang terbaik untuk kembali mempertaruhkan aksi sambil menyifatkan tahap kecergasannya kini semakin baik dan bersedia untuk diturunkan.

Sudah pasti, pemain berusia 25 tahun ini tidak mengambil mudah perebutan sengit dalam pasukan dan amat penting untuknya memastikan kecederaan sama tidak lagi berulang.

Bekas pemain UiTM FC itu juga menyifatkan persiapan Penang FC kali ini lebih teratur melihat kepada kehadiran para pemain baharu lain yang cukup berpengalaman selain percaya skuad Harimau Kumbang akan lebih agresif pada musim depan.

Tambahnya, begitu juga dengan kehadiran pemain import baharu yang dilihat lebih berkualiti pastinya akan memberikan sesuatu yang baharu buat pasukan ini di Liga Super 2023.

“Saya boleh nampak Penang akan lebih agresif pada musim depan dan kita dapat tengok pemain-pemain baharu yang datang pun boleh dikatakan sudah berpengalaman di pentas Liga Super.

“Juga ada beberapa pemain import yang dah diumumkan sekarang lebih berkualiti jadi insya-ALLAH kami akan memberikan tentangan yang lebih tinggi pada musim depan,” katanya.

Penang FC turut mengumumkan bekas tonggak Kuala Lumpur City FC, Hadin Azman juga bakal memperkuatkan pasukan musim depan.