Selangor masih tutup tempat perkelahan, perkhemahan – JPNS

in Edisi Selangor KL by

JPNS melarang sebarang aktiviti di hutan rekreasi di Selangor. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan arahan penutupan semua tempat perkelahan, perkhemahan serta hutan rekreasi di bawah pengurusan jabatan itu masih berkuat kuasa sehingga suatu tempoh akan dimaklumkan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berkenaan menyeru orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi termasuk mandi-manda dan perkhemahan di kawasan hutan serta Taman Eco Rimba buat sementara waktu.

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, larangan itu susulan arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor pada 17 Disember lalu susulan cuaca buruk dan musim tengkujuh.

Menurut beliau, mereka yang didapati bersalah melanggar arahan berkenaan boleh dikenakan didenda sehingga RM30,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Ahmad Fadzil menambah, JPNS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Operasi di semua kawasan hutan rekreasi di bawah pengurusan jabatan berkenaan.

“Notis ini dikeluarkan sejak Oktober lalu dan masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Notis ini juga selaras dengan Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) iaitu mengenai larangan mana-mana individu memasuki hutan simpan kekal tanpa permit sah,” katanya dalam satu kenyataan.