Tanah runtuh: RM800,000 sumbangan bantu warga SJKC Mun Choong

in Edisi Selangor KL by

Hui Ying ketika melawat murid yang mengikuti kelas pembelajaran mereka pada hari pertama persekolahan.Hui Ying (tengah) bersama warga pendidik di SJKC Mun Choong ketika melawat sekolah berkenaan pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Kira-kira RM800,000 dana terkumpul di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, di sini, disumbangkan bagi membantu warga sekolah yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya ingin berterima kasih kepada Yang Dipertua PIBG SJKC Mun Choong, U Chin Ong dengan bantuan serta-merta kepada sekolah, guru-guru, para pelajar dan ibu bapa di saat yang memerlukan ini.

Beliau juga merakam penghargaan kepada guru besar baharu SJKC Mun Choong iaitu Cheong Kam Yin yang bertungkus lumus mengendalikan segala urusan pengoperasian sekolah dengan cukup sistematik pada hari pertama persekolahan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah bertindak pantas melantik guru besar baharu bagi mengisi kekosongan selepas persaraan guru besar sebelum ini dan mengaturkan seramai enam guru baharu bagi mengisi kekosongan tenaga pengajar.

“KPM telah mengambil tindakan segera untuk memastikan tenaga pengajar yang mencukupi di SJKC Mun Choong supaya pemudahcaraan dan pembelajaran dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

**media[2044121]**

“Saya percaya dengan pimpinan Guru Besar, Puan Cheong serta seluruh tenaga pengajar bersama dengan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), PIBG dan komunti setempat sekolah, SJKC Mun Choong dapat mengharungi situasi luar biasa ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, pihak KPM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga telah menempatkan seramai 25 orang guru kaunselor di SJKC Mun Choong bagi memberikan sokongan psikososial kepada warga SJKC Mun Choong.

“Saya bagi pihak KPM ingin mengucapkan terima kasih di atas jasa dan pengorbanan kepada semua yang terlibat dan saya juga ingin merakamkan ribuan penghargaan atas sumbangan yang disampaikan oleh semua agensi kerajaan serta orang awam kepada warga SJKC Mun Choong.

“Semoga dengan segala sokongan yang diberikan oleh KPM dan semua pihak lain, saya berharap SJKC Mun Choong akan kembali beroperasi dengan sedia kala,” katanya.