'Tekad lawan rasuah, rakyat bersama Anwar'

in Khas by

Fazril Saleh

SHAH ALAM – Rakyat pastinya akan bersama dan mendukung komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agendanya melawan rasuah.

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh berkata, yang pastinya rakyat gembira dengan kenyataan Anwar yang konsisten dengan tekad memerangi rasuah dan salah tadbir dalam kerajaan.

“Kita mampu kembali menjadi bangsa Malaysia yang bermaruah, dengan berpegang kepada bangsa yang berintegriti, bangsa yang tahu malu, dan benci rasuah. Ia harus menjadi pegangan dan membudaya dalam masyarakat kita, tambah lagi bangsa Malaysia sejak sekian lama, tanpa mengira latar belakang adalah bangsa beragama, bangsa yang punya etika, bangsa yang bermoral.

“Kepada PM, jalankan tanggungjawab anda kerana dalam konteks ini, rakyat bersama anda,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar bahawa masih terdapat kelompok kecil dalam penjawat awam yang mengamalkan sikap meminta dan menerima rasuah.

Kata Anwar, beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap kelompok kecil itu kerana ia boleh mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan.

Anwar juga menegaskan tidak mahu kepincangan politik berlarutan, manakala kedudukan dan jawatan sebagai pemimpin bukan suatu kesempatan untuk ‘memunggah’ kekayaan negara.

Anwar juga berkata, pentadbirannya memberi jaminan akan sekurang-kurang memulangkan sebahagian daripada dana telah diselewengkan sebelum ini, kepada rakyat kerana jumlahnya yang besar.

Justeru tegas Fazril sebagai rakyat yang mahu melihat negara ini kembali bangkit, pastinya mereka semua menantikan “janji” Anwar untuk mengembalikan kekayaan negara yang dipunggah itu kembali kepada rakyat.

“Kami juga menyambut baik ketegasan Anwar agar tidak memaafkan kecurangan berkenaan, kerana ia melibatkan rakyat dan negara. Apatah lagi dalam tahun 2023 yang dijangka menjadi tahun yang mencabar ini, kami menagih “janji” Anwar sebagaimana yang beliau sering kali ungkapkan,” katanya.