Tindakan menampar boleh disabit kes jenayah

in Nasional by

Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai seorang individu yang didakwa jurulatih pasukan bola tampar bertindak menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan pada 16 Disember lalu. Gambar kecil dari kiri: Zalmizy, Shahul

SHAH ALAM – Tindakan agresif seorang jurulatih menampar dua pemain bola tampar perempuan yang tular baru-baru ini boleh disabitkan dengan kes jenayah jika laporan polis dilakukan.

Pakar Kriminologi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, hukuman penjara selama satu tahun maksimum dan/atau denda RM2,000 boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.

Menurutnya, kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 322 Kanun Keseksaan kerana menyakiti atau melukai orang lain dengan sengaja.

“Sekiranya ada laporan, pihak polis akan jalankan siasatan dan bergantung kepada hasilnya, si pelaku akan didakwa di bawah kesalahan jenayah. Maksudnya di sini, si pelaku akan dikenakan tindakan undang-undang jika disabit kesalahan.

“Sama ada pihak polis mendakwa si pelaku atau tidak, laporan polis yang telah dibuat boleh digunakan untuk langkah selanjutnya iaitu tuntutan mahkamah.

“Kita perlu ambil perhatian dan peringatan bersama, dengan hanya mengugut dan mengangkat tangan seperti hendak menampar boleh dikatakan sebagai suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan bagi sesetengah kes,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Ahad, tular sebuah video menunjukkan seorang individu yang didakwa sebagai jurulatih pasukan bola tampar bertindak menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan pada 16 Disember lalu.

Dalam pada itu, Zalmizy berkata, badan siasatan bebas perlu ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut secara lebih adil dan saksama.

Sementara itu, Pakar Kriminologi Bebas, Shahul Hamid Abd Rahim pula berkata, sememangnya tindakan tegas perlu dikenakan memandangkan jurulatih tiada hak atau kuasa untuk melakukan perkara seperti itu.

“Mana ada peruntukan undang-undang benarkan jurulatih atau sesiapapun untuk tampar atau pukul pemain. Tiada peruntukan atau badan sukan beri kuasa berkenaan.

“Saya juga jurulatih bola tampar, hoki. Tiada pun diberi kuasa untuk pukul dan tampar. Setakat marah itu ada. Marah itu biasa bagi jurulatih kepada pemain untuk mengajar. Bukan memukul. Ia satu jenayah,” jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya mangsa tidak melakukan laporan polis, namun tindakan masih boleh dikenakan sekiranya pihak berkuasa mengetahui kejadian tersebut.

“Tetapi biasanya kena ada laporan polis untuk mereka siasat siapa mangsa dan pelaku. Melainkan kejadian itu berlaku depan polis, mereka boleh terus ambil tindakan,” ujar beliau.