Abang maut ditikam kerana halang adik pulang ke Pakistan

in Berita Semasa by

Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Gara-gara menghalang adik yang mahu pulang semula ke Pakistan, seorang abang maut ditikam dalam kejadian di Taman Desa Meranti di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang juga warganegara Pakistan dikenali sebagai Mukhtiar, 39, dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asal.

Menurutnya, pergaduhan tercetus apabila mangsa dikatakan menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang berjumpa ahli keluarga.

“Kejadian pada jam lebih kurang 9.57 malam itu tercetus apabila suspek yang berang bertindak luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Zaidy berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama tujuh hari sehingga 6 Januari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.