Ahmad Zahid 'dikejutkan' dengan kek sambutan hari jadi

in Nasional by

Tangkap layar video Facebook Ahmad Zahid.

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘dikejutkan’ dengan kek sambutan hari jadinya dengan diraikan beberapa jemaah menteri sebelum mesyuarat kabinet berlangsung pada Rabu.

Menerusi perkongsian video berdurasi 1 minit 27 saat di Facebooknya, sambutan berkenaan dimulakan dengan bacaan doa ringkas daripada Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sambutan itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta beberapa menteri kabinet lain antaranya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Pagi ini (Rabu) saya telah dikejutkan dengan kek sambutan hari jadi sebelum mesyuarat kabinet berlangsung. Terima kasih dengan doa ringkas yang dibacakan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Ini sebahagian dari kenangan terindah bersama rakan ahli jemaah kabinet yang turut sama menyertai acara potong kek sebentar tadi.

“Terima kasih semua meraikan hari kelahiran saya dan turut disambut oleh dua cucu saya yang berkongsi tarikh sama hari ini,” katanya.

Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada sahabat dan teman seluruh negara yang mendoakan dan mengirim ucapan menerusi pelbagai media sosial.

“Terima kasih juga kepada sahabat dan teman seluruh negara yang mendoakan dan mengirim ucapan melalui WhatsApp, Telegram dan media sosial yang tidak mampu saya balas satu persatu,” ujarnya.