'Along pulanglah, abah dan ummi tak marah'

in Edisi Kelantan by

Norishnidawati dipercayai tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.

TANAH MERAH – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Gobek di sini dipercayai keluar dari rumah selepas merajuk dengan kedua ibu bapanya pada Sabtu lalu.

Norishnidawati Abdullah, 14, dikatakan keluar dari rumah memakai jubah dan tudung berwarna hitam pada jam 12 tengah hari.

Bapa tirinya, Ahmad Saberi Awang Lah, 44, berkata, sebelum kejadian dia dan isteri ada menasihati Norishnidawati yang dipanggil sebagai along.

“Namun, kami tidak menyangka dia akan merajuk, keluar dari rumah dan tidak pulang sehingga hari ini.

“Along, pulanglah… abah dan ummi tidak marah. Kami bimbang tentang keselamatan along, sudah berapa malam abah dan ummi tidak tidur kerana terlampau risau,” katanya yang mengalirkan air mata ketika menceritakan perihal kehilangan anak tiri yang telah dijaga sejak berusia setahun itu.

Norishnidawati merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan masih bersekolah.

Ahmad Saberi berkata, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Ahad dan turut melakukan pencarian di sekitar kawasan berhampiran.

Tambah Ahmad Saberi, dia turut berikhtiar dengan pelbagai cara seperti solat hajat, berjumpa perawat tradisional dan sebagainya.

“Along keluar sehelai sepinggang, duit dan kad pengenalan tidak dibawa bersama.

“Kami mohon kepada sesiapa sahaja yang ada mengenali atau melihat kehadiran along dapat menghubungi saya di talian 019-3858919,” katanya.