'Ayahanda Zul' ditahan bantu siasatan kes ugutan bunuh

in Berita Semasa by

Rohaimi

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ugutan bunuh pegawai dan anggota polis selepas enam minggu menyembunyikan diri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suspek berusia 53 tahun dikenali sebagai ‘Ayahanda Zul’ itu ditahan sepasukan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 2 Januari lalu.

“Penahanan suspek dibuat susulan kes ugutan bunuh untuk menembak mati pegawai dan anggota polis Terengganu yang mengambil tindakan operasi terhadap kegiatan pengedaran dadah kumpulannya di daerah Dungun.

“Kertas siasatan berkaitan kes itu dibuka selepas laporan polis berhubung ugutan dibuat pada 24 November tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Rohaimi, sepanjang tempoh bersembunyi, suspek masih menghantar ugutan melalui aplikasi WhatsApp terhadap beberapa pegawai dan anggota polis secara spesifik selain turut mencabar pihak berkuasa menangkapnya.

“Siasatan mendapati suspek yang mengakui dirinya sebagai ‘Ayahanda Zul’ dikenali di Dungun kerana penglibatannya dalam melindungi sindiket dadah di bawah pertubuhan haram.

“Selain itu, suspek juga didapati melakukan kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit yang sah,” kata beliau.

Rohaimi berkata, suspek yang sebelum ini bersembunyi di beberapa negeri lain kini direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 Januari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, katanya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang digaji.

Dalam pada itu, Rohaimi mengingatkan orang ramai supaya tidak gentar untuk melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku bagi membolehkan tindakan diambil sekali gus menjamin keselamatan masyarakat.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan nama pertubuhan untuk berselindung dan menjalankan kegiatan jenayah,” tegasnya.