Cools perkukuh bentang Buriram United

in Sukan by

Cools (kanan) perkukuh cabaran Buriram United.

TEKA-teki status Dion Cools bagi musim 2023 akhir terjawab apabila pemain posisi pertahanan itu disambar kelab Liga Thailand, Buriram United.

Kelab itu dalam satu kenyataan memaklumkan kehadiran Cools adalah bagi memenuhi kuota pemain ASEAN dalam pasukan terbabit.

“Buriram United mencapai persetujuan menandatangani Dion Cools, bintang skuad kebangsaan Malaysia yang bermain sayap kanan, bek kanan dan bek tengah.

“Ini bagi memenuhi kuota ASEAN bagi mengukuhkan dan meningkatkan kepelbagaian permainan di bahagian kanan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Cools sebelum ini memperkuatkan cabaran kelab Liga Republik Czech, FK Jablonec apabila sering ditampikan dalam kesebelasan utama pasukan.