Kerajaan Persekutuan martabatkan MA63: Mohd Shafie

in Nasional by

Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Parti Warisan (Warisan) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kabinet mengenai beberapa perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai komitmen kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan MA63.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya amat mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat kabinet yang dilaksanakan pada Rabu.

“Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai keputusan kabinet berkenaan beberapa perkara berkaitan MA63 amat dialu-alukan.

“Antara perkara berkenaan adalah jaminan bahawa pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan dan segala keputusan berhubung projek bernilai RM50 juta ke bawah di Sabah dan Sarawak diputuskan oleh negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keputusan itu adalah sebagai satu berita baik dan menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang untuk memartabatkan MA63.

“Parti Warisan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat MA63 dilaksanakan,” katanya.

Sebelum itu, kerajaan Persekutuan memutuskan mana-mana projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Anwar menerusi satu sidang akhbar selepas dipersetujui oleh Kementerian Kewangan selaras dengan MA63.