Lazada Malaysia, responsMalaysia kumpul dana RM100,000

in Bisnes by

Lazada Teman You akan mengumpulkan dana berjumlah RM100,000 untuk membantu komuniti yang terjejas banjir di Kelantan dan Johor.

SHAH ALAM – Lazada Malaysia telah bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (responsMalaysia) menerusi inisiatif impak sosial, Lazada Teman You untuk mengumpul dana sebanyak RM100,000 untuk membantu komuniti yang terjejas banjir di Kelantan dan Johor.

Lazada Malaysia dalam satu kenyataan berkata, platform e-dagang itu juga akan menyelaraskan sumbangan sebanyak RM80,000 bagi membantu komuniti yang memerlukan.

“Orang ramai yang ingin membuat sumbangan amal boleh menderma melalui platform derma amal digital Lazada Malaysia yang selamat dan terjamin dengan mengikuti beberapa langkah mudah,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, orang ramai hanya perlu pergi ke aplikasi Lazada Malaysia dan menaip ‘Lazada Teman You’ dalam ruangan carian di aplikasi Lazada Malaysia.

“Seterusnya memilih jumlah amaun derma yang ingin disumbangkan sama ada RM1, RM5, RM10, RM30, RM50 atau RM100 dan klik ‘Beli Sekarang’ untuk menderma,” kata kenyataan itu.

Pada tahun 2020, semasa pandemik melanda negara, Lazada mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan platform derma amal digital, LazadaForGood.

Pada tahun 2021, sumbangan yang dikumpul menerusi LazadaForGood telah disalurkan untuk membantu komuniti yang terkesan banjir di pusat pemindahan dan pusat perlindungan sementara.

Pada Ramadan 2021, LazadaForGood bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia bagi mengumpul dana dengan objektif untuk mengagihkan pek makanan keperluan kepada lebih 60,000 penerima bantuan di Malaysia dan mereka yang dilanda krisis di seluruh dunia.

Usaha amal tersebut diteruskan pada April 2022 menerusi kolaborasi antara Lazada Malaysia dengan Islamic Relief Malaysia yang berjaya mengumpul dana bagi mengagihkan makanan keperluan kepada lebih 40,000 penerima sumbangan pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.