Lebih 300,000 rakyat China masuki Malaysia tahun lalu – PM

in Nasional by

Anwar (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu. – Foto Sadiq Asyraf/Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Seramai 336,000 rakyat dari China direkodkan memasuki Malaysia sepanjang tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majoriti daripadanya merupakan pelancong.

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk menyatakan negara yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di dunia itu sebagai ‘punca’ peningkatan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Pada Disember tahun lalu sahaja seramai 53,000 pelawat dari China memasuki negara dan kalau kita lihat ia tidak berikan kesan seperti diuar-uarkan.

“Jadi, saya hendak jelasnya (bahawa) dari segi angka yang kita perolehi ini (tidak memperlihatkan berlakunya jangkitan Covid-19 yang tinggi).

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita harus memberi kelonggaran kepada mana-mana negara termasuk dari China,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Isu mengenai kedatangan pelancong dari China mencetuskan polemik susulan kerajaan negara itu mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak perlu lagi kuarantin.

Susulan keputusan China itu, beberapa negara termasuk Jepun mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat lalu.