Malaysia-Indonesia bincang pertingkat kerjasama perburuhan

in Nasional by

V Sivakumar – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Malaysia dan Indonesia mengadakan perbincangan mengenai kaedah untuk mempertingkatkan kerjasama perburuhan khususnya dalam memberikan perlindungan kepada pekerja warga Indonesia di Malaysia.

Perkara itu dibincangkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono ketika kunjungan hormat Hermono terhadap Sivakumar di Kementerian Sumber Manusia (KSM) di sini hari ini.

KSM dalam kenyataan memaklumkan kunjungan hormat itu bagi membincangkan isu hubungan dua hala perburuhan antara Malaysia dan Indonesia yang bakal menjadi agenda di peringkat tertinggi kedua negara semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada 8 dan 9 Januari ini.

“Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Republik Indonesia kelak diharap akan memperkukuh kerjasama sedia ada antara kedua negara dalam pelbagai bidang khususnya sektor perburuhan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia dan Indonesia telah menjalin hubungan perburuhan menerusi dua memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan pengambilan pekerja warga Indonesia bagi sektor formal dan sektor pekerja domestik.

MoU bagi sektor formal dimeterai kedua negara pada 10 Mei 2004 manakala bagi sektor pekerja domestik pula pada 1 April 2022.

Setakat 30 November 2022 terdapat seramai 376,256 pekerja warga Indonesia di Malaysia.

KSM memaklumkan Malaysia dan Indonesia telah menggunakan platform Mesyuarat Jawatankuasa Kerja untuk membincangkan isu mengenai pembantu domestik Indonesia (PDI) secara berkala dengan mesyuarat akan datang dijangka diadakan di Indonesia Februari depan.

“Malaysia komited untuk melaksanakan Sistem Satu Saluran (OCS) sebagai platform tunggal bagi kemasukan pekerja domestik Indonesia ke negara ini bagi mengelak kemasukan melalui saluran lain yang boleh menjurus kepada pekerja tersebut menjadi mangsa eksploitasi buruh,” menurut KSM. – Bernama