Malaysia kutuk tindakan Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa

in Nasional by

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitar masjid itu pada Selasa. Foto hiasan

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitar masjid itu pada Selasa.

Pencerobohan terancang diketuai Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dan tentera rejim Israel adalah provokasi dan jelas melanggar status quo Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya memastikan Israel bertanggungjawab atas tindakan haram itu dan menuntut rejim berkenaan menghentikan serta-merta sebarang provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan.

“Malaysia berdiri teguh dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi bahawa status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam.

“Malaysia juga mengesahkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan usaha untuk mendapatkan kebebasan dan merealisasikan aspirasi untuk sebuah Negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, Itamar Ben-Gvir melawat kompleks Masjid Al-Aqsa, sehari selepas beliau mengumumkan untuk menangguhkan lawatan itu.

Palestin dan beberapa negara Arab menyifatkan lawatan berkenaan sebagai “provokasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini” dan “pengisytiharan perang”, lapor Agensi Anadolu. – Bernama