OPV: Kerajaan beri suntikan RM152.6 juta

in Nasional by

Kapal OPV pertama dijangka siap pada tahun ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberikan suntikan pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disiapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

“Terpaksa kita berikan satu lagi bentuk suntikan tuntutan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini pada Rabu.

Menurutnya, OPV pertama dijangka boleh disiapkan pada tahun ini.

“Perkara perolehan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan hingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan OPV itu disiapkan mengikut jadual dan keduanya tidak lepaskan siapa yang salah guna kuasa kaut kekayaan tanpa siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV.

APMM dalam kenyataan pada 13 September 2022 memaklumkan tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata, kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.