Piala AFF: FAM kekalkan harga tiket RM30

in Sukan by

Senarai harga tiket separuh akhir Piala AFF Malaysia lawan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. – Foto FB FAM

HARAPAN untuk melihat Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi peminat Malaysia yang dijadualkan menentang Thailand dalam aksi separuh Piala AFF 2022 pada Sabtu semakin membara.

Ia susulan sejumlah 59,000 keping tiket yang akan dijual dengan penetapan kadar harga yang sama iaitu RM30 untuk tempat duduk terbuka.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium sejurus selepas perlawanan menentang Singapura.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan di sepanjang kempen Piala AFF setakat ini

“Tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebagai perbandingan, harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka berkenaan sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada Piala AFF 2018.

Malah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia menentang Vietnam.

Menurut Noor Azman, sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert artis Taiwan, Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

Tambahnya, situasi itu tidak dapat dielakkan kerana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik.

Jelasnya, ia bagi memastikan aksi skuad Harimau Malaya sepanjang kejohanan itu tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

“Justeru diharapkan para penyokong Harimau Malaya dapat meneruskan sokongan padu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand, Sabtu ini, jam 8.30 malam,” katanya.

Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula jam 3 petang ini.

Tiada penjualan di kaunter

FAM turut ingin menasihati para penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.

Ini kerana, bagi perlawanan menentang Singapura pada Selasa, FAM telah mendapati bahawa terdapat penjualan tiket palsu.

FAM berharap perkara sedemikian tidak berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama tersebut dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku.