Sindiket jual vape ganja tumpas

in Berita Semasa by

Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket menjual vape perisa ganja di ibu negara. – Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah sindiket menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ terbongkar selepas empat daripada ahli sindiket ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan jam 9.45 malam itu berjaya menemukan dadah jenis ganja seberat 494 gram (g), dan cecair ganja sebanyak 3,496 milliliter (ml).

“Sindiket memproses cecair ganja berkenaan dijadikan cecair untuk vape berperisa ganja dan dijual dalam botol bersaiz 5ml dengan harga RM60 sebotol.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh dibekalkan kepada 2,242 pengguna dadah. Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Amihizam berkata, hasil soal siasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berjaya menahan seramai tujuh lagi suspek dalam serbuan kedua di sekitar ibu negara.

“Hasil ujian saringan awal urin terhadap semua suspek berkenaan mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis kanabis (THC), methamphetamine, dan amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti saki-baki sindiket, modus operandi dan dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh.

“Kesemua suspek terdiri dari lelaki tempatan berusia 19 hingga 28 tahun direman dari dua ke tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan,” ujar beliau.