Wanita didakwa buka klinik gigi secara haram

in Berita Semasa by

Tertuduh (kanan) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada Rabu atas dakwaan menyediakan klinik gigi swasta tanpa didaftarkan dua tahun lalu.

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan menyediakan perkhidmatan pergigian tanpa permit dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Norazia Abdul Rahman, 41 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohd Nazri.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan klinik gigi swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menjalankan perkhidmatan pemasangan veneer yang merupakan suatu amalan pergigian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 5.55 petang di sebuah bilik hotel di sini pada 20 Ogos 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5 (1) (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,500 oleh seorang penjamin dan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norzaizeli Abu Samah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.