Warga emas dibenar cabar keputusan KDN

in Berita Semasa by

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 67 tahun hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan ibu kepada tujuh anak itu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mengemukakan bantahan.

Peguam Larissa Ann Louis memaklumkan mahkamah bahawa AGC menyatakan perkara itu dalam surat bertarikh 3 Januari lepas dan mahkamah kemudian menetapkan 19 Januari depan untuk pengurusan kes.

Wanita itu, yang memfailkan permohonan tersebut pada 22 November tahun lepas dan menamakan Ketua Setiausaha KDN, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden, antara lain meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan menolak permohonan beliau untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia dalam surat bertarikh 23 Ogos tahun lepas adalah batal serta tidak sah.

Berdasarkan afidavit yang difailkan di mahkamah, wanita itu berkata beliau lahir pada 1955 di Hospital Teluk Anson, Perak tetapi telah ditinggalkan oleh ibu kandungnya serta dibesarkan oleh ibu bapa angkat yang merupakan rakyat Malaysia dan kini ibu bapa kandungnya sudah meninggal dunia.

Beliau telah berkahwin pada 1974 dengan lelaki yang tidak bernegara namun mempunyai status pemastautin tetap dan mereka memiliki tujuh anak sebelum suaminya meninggal dunia pada 2016.

Pada 2017, wanita itu telah memohon kepada JPN untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang ditolak pada 23 Ogos tahun lepas tanpa sebarang alasan. – Bernama