AADK disasar pertingkat kejayaan program pemulihan dadah

in Nasional by

Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media di Agensi Antidadah Kebangsaan, pada Khamis. – Foto Bernama

KAJANG – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan sasaran 75 peratus bagi program pemulihan penagih kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun ini.

Beliau berkata, penetapan sasaran baharu itu susulan kejayaan agensi berkenaan tahun lepas yang mencapai sehingga 70 peratus bagi program pemulihan penagih.

“Tahun lepas, seramai 70 peratus penagih dadah yang menjalani program pemulihan di AADK didapati telah berjaya membuang tabiat berkenaan secara kekal dan tidak kembali menagih dadah dan bagi tahun ini saya meletakkan sasaran kepada 75 peratus bagi setiap 100 individu yang menjalani proses pemulihan dadah.

“Program pemulihan AADK merupakan satu kejayaan berdasarkan peratusan penagih dadah yang berjaya dipulihkan berbanding standard antarabangsa pada 35 hingga 50 peratus,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan rasmi di Ibu Pejabat AADK, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, AADK yang mempunyai data lengkap mengenai program berkenaan perlu melakukan analisis bagi membangunkan satu model jangkaan untuk meningkatkan lagi peratusan kejayaan program pemulihannya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditugaskan bagi membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) di lima sempadan negara bermula tahun ini, Saifuddin Nasution berkata, penempatan anggota berkenaan akan dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, anggota Rela yang ditugaskan di sempadan negara juga akan dibekalkan dengan senjata api sekiranya perlu dan harus disimpan di stor senjata api selepas tamat waktu bekerja selain tidak dibenarkan dibawa pulang.

Pada 15 Disember lepas, Saifuddin dilapor berkata, 500 anggota Rela itu akan ditempatkan di lima sempadan melibatkan pintu masuk di Sabah, Sarawak, Selangor, Kelantan dan Perlis. – Bernama