Along simbah cat merah diberkas

in Berita Semasa by

Polis menahan seorang lelaki kerana melakukan khianat. – Foto hiasan

SUBANG JAYA – Seorang lelaki disyaki pemberi pinjaman wang haram atau along ditahan kerana melakukan khianat menyimbah cat merah di sebuah rumah di sini, pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Jalan Sungai Long, Kajang pada Rabu.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Samsung A23, sebuah motosikal, satu botol semburan, 14 botol sirap ros, sepasang kasut dan satu beg galas yang disyaki digunakan untuk kegiatan menyimbah cat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Azlan berkata, tangkapan itu susulan laporan daripada seorang wanita yang telah menerima pesanan daripada anak perempuannya melalui aplikasi WhatsApp.

“Selain pengadu, kakak iparnya juga telah menerima pesanan WhatsApp daripada along yang mencari bekas suami pengadu.

“Pengadu mengesyaki bekas suaminya yang bertanggungjawab meminjam wang sehingga menyebabkan gangguan along tersebut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam enam kes di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya.

“Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.