Faizal tekad gegar India

in Sukan by

Faizal mendapat kepercayaan bagi membarisi jentera serangan Malaysia pada Piala Dunia 2023 di India.

PENYERANG sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari mengakui tidak berada pada tahap prestasi sebenar pada Piala Negara-Negara di Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember lalu.

Namun, pemain kelahiran Terengganu itu mahu membalas kepercayaan diberikan pengendali The Speedy Tigers, Arul Selvaraj dengan memberikan aksi terbaik pada Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari ini.

“Sejujurnya saya ambil teguran daripada coach Arul mengenai persembahan semasa saingan Piala Negara-Negara baru-baru ini sebagai sesuatu yang positif.

“Kita pun sebelum ini tidak banyak menyertai kejohanan kompetitif selepas pandemik Covid-19 ini, seandainya ada pun dalam lingkungan satu dua kejohanan.

“Teguran coach Arul itu merupakan sesuatu yang tepat untuk saya buktikan sesuatu apabila menyingkap saingan Piala Dunia 2023,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebelum ini, Arul menuntut Faizal tampil lebih menyerlah dalam saingan di India nanti selepas pemain berusia 31 tahun itu tidak berada pada prestasi sebenar pada kempen Piala Negara-Negara.

“Peluang beraksi di pentas Piala Dunia merupakan idaman setiap pemain. Saya dan rakan-rakan lain tidak akan mengambil mudah cabaran pasukan yang bertanding pada kali ini.

“Kami akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dengan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan sepanjang kempen kali ini,” ujarnya yang menyarung jersi kelab Belanda, ZSV Schaerweijde sebelum ini.

Pada Piala Dunia 2023, Malaysia yang kini menduduki ranking ke-11 dunia diundi dalam Kumpulan C dijadualkan berdepan juara tiga kali, Belanda pada 14 Januari.

Wakil dari Amerika Selatan, Chile akan menjadi lawan kedua Speedy Tigers pada 16 Januari sebelum mereka berdepan pasukan kesembilan dunia, New Zealand empat hari kemudian.

Juara kumpulan akan ke suku akhir, manakala pasukan tempat kedua ketiga akan berentap dengan lawan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati dalam memburu slot ke suku akhir.