Inspektor polis didakwa rogol remaja bawah umur

in Berita Semasa by

Pegawai polis berpangkat inspektor berdepan empat pertuduhan termasuk rogol dan amang seksual.

SUNGAI PETANI – Seorang inspektor polis mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen 1 di sini termasuk merogol dan melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur pada 28 Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Maliki Azmi, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, Kedah dituduh merogol remaja bawah umur berusia 16 tahun yang juga merupakan mangsa kes rogol yang mana tertuduh merupakan pegawai penyiasat yang melakukan siasatan kes itu.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan di Bilik Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Yan jam lebih kurang 6.30 petang 28 Disember lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sampai 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah membenarkan, perlu dikenakan jumlah jaminan tinggi selain syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai terdekat dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar jaminan yang rendah dikenakan kerana kini telah hilang pendapatan, perlu menyara isteri dan ibu bapa serta mempunyai bebanan hutang yang tinggi.

Hakim Roslan Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan semua syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan passport di serah pada mahkamah.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa dengan tiga pertuduhan amang seksual termasuk menyentuh kemaluan remaja tersebut bagi tujuan seksual.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta yang sama.

Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual dengan mengarahkan mangsa memasukkan alat ke dalam kemaluan.

Disebabkan perbuatan itu, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 14(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16 ( 1) Akta yang sama.

Selain itu, dia juga dituduh melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu membuatkan mangsa menunjukkan badan agar dapat dilihat oleh tertuduh bagi tujuan seksual.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta792) dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Roslan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti di atas.

Sebutan semula ditetapkan pada 6 Februari 2023 bagi tarikh mendapatkan laporan perubatan, kimia dan mendapatkan peguam.

Bagaimanapun, tertuduh difahamkan telah membayar wang jaminan keseluruhan berjumlah RM25,000.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan telus akan dilakukan berhubung kes rogol yang didakwa membabitkan seorang pegawai polis dengan remaja perempuan bawah umur.