KDA FC lancar kelab peminat Kepak Kenari

in Sukan by

Mohd Daud (tengah) ketika sidang akhbar di Alor Setar pada Khamis.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan melancarkan kelab peminat Kepak Kenari bagi memeriahkan lagi saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, setiap keahlian akan mendapat manfaat sepanjang musim dengan hanya membayar yuran keahlian sebanyak RM30.

Menurutnya, KDA FC menyasarkan untuk mendaftarkan keahlian mencecah 5,000 ahli selepas ia dilancarkan bagi musim 2023.

“Unit pemasaran akan menjalankan promosi dalam masa terdekat. Antara manfaat adalah keutamaan dalam pembelian tiket, diskaun cenderahati KDA FC serta diskaun rakan kongsi kad keahlian kelab,” katanya.

Beliau berkata ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian rakan rasmi dan pengumuman pasukan Liga Super KDA FC di sini pada Khamis.

Dalam pada ittu, Mohd Daud berharap penyokong Sang Kenari menjadi sebahagian daripada usaha ini yang diharap membantu ekosistem data seterusnya menjana pendapatan kelab.

“Saya juga berhasrat melancarkan penjualan tiket mesra keluarga, pakej pas atau tiket keluarga. Ia akan diperhalusi bersama unit pemasaran supaya dapat direalisasikan.

“Hasrat saya supaya bola sepak hijau kuning menjadi milik rakyat bermula dengan menyokong bersama keluarga. Ia juga lebih menjimatkan untuk seisi keluarga datang menonton perlawanan di stadium,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pas bermusim 2023 terdiri daripada tiga pakej iaitu Sang Kenari Platinum dengan nilai RM700 hingga RM900, manakala Gold dan Bronze masing-masing bernilai RM500 hingga RM700 dan RM300 hingga RM500.

Mohd Daud turut memaklumkan, KDA FC telah melakukan pengubahsuaian Hub Prestasi Sukan dan Perubatan bagi kegunaan pasukan selaras dengan perancangan dalam menyediakan kemudahan untuk pemain.

“Hub ini terletak di pavilion padang Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti yang mempunyai bilik jurulatih, bilik kitman, bilik persalinan, ruang rawatan dan rundingan pemain, mini gimnasium dan pusat sehenti untuk pemain dan jurulatih menjalankan aktiviti,” katanya.

Menurutnya, hub berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.

“Kita juga sedang mengenal pasti padang pusat latihan di sekitar Alor Setar untuk diubahsuai bagi kegunaan sepanjang tahun. Proses rundingan juga sedang berjalan untuk membina pusat latihan tetap KDA FC,” katanya.