Kedai makan guna pinggan retak, berdaki dikompaun

in Edisi Pahang by

Tangkap layar video tular di YouTube yang menunjukkan pinggan kotor dan berdaki digunakan sebuah kedai makan di Taman Gelora, Kuantan.

KUANTAN – Sebuah kedai makan di Taman Gelora di sini yang tular didakwa mengabaikan kebersihan dengan menghidangkan makanan kepada pelanggan menggunakan pinggan retak dan berdaki sudah dikenakan notis dan kompaun.

Kompaun itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di bawah undang-undangan kecil pengendali makanan 1983 selepas Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penjaja dan Bahagian Penguatkuasaan selepas menjalankan semakan susulan tular sebuah video pada Selasa.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, kedai makan terbabit diberikan notis penutupan selama satu hari bagi kerja- kerja pembersihan.

“Hasil semakan mendapati kedai makan terbabit telah membuat kerja pencucian pinggan tersebut dan melupuskan pinggan yang retak.

“Selain tindakan kompaun, notis untuk membuang kelengkapan yang rosak, sukar dicuci serta tidak diperlukan selain membersih sawang dan persekitaran kedai turut dikeluarkan kepada beberapa peniaga di situ,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, tular video seorang tukang masak melalui ‘channel’ Youtube miliknya memaparkan lelaki terbabit berkunjung ke kedai makan berkenaan bersama ahli keluarganya untuk menjamu selera.

Bagaimanapun selepas makan, mereka terkejut apabila mendapati pinggan yang digunakan retak dan selepas diperiksa, bahagian bawah pinggan juga berdaki.

Mereka mengadu perkara itu kepada pekerja kedai makan berkenaan namun hanya diberitahu tidak perasan.

Video berdurasi 6.17 minit itu mendapat lebih 67,00 tontonan serta 449 tanda suka setakat jam 12 tengah hari Khamis.

Mengulas lanjut, Norkamawati berkata, pemeriksaan telah dijalankan pada Selasa lalu membabitkan lima kedai di lokasi tumpuan ramai itu.

“Hasil pemeriksaan selama hampir tiga jam berakhir jam 7 malam itu, sebanyak empat notis dan tiga kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga,” katanya.